Solat Sunat Tarawih

Dalam post kali ini saya nak share apa yang saya baca tentang Solat Sunat Tarawih. Seperti saya juga, mereka yang baru nak belajar bolehlah baca perlahan-lahan, atau print sahaja post ini untuk dibaca di rumah. Jika masih kurang faham, mungkin boleh rujuk ustaz-ustazah yang dikenali atau buku-buku panduan solat.

 

Hukum Solat Tarawih (ada juga yang mengejanya sebagai Terawih) adalah sunat Muakkad (yang sangat dituntut) dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah. Waktu Sembahyang Sunat Tarawih ialah selepas menunaikan sembahyang fardu Isya dan sunat ba’diah dua rakaat, sehingga sebelum terbit fajar. Jadi tarawih tidak semestinya dikerjakan sejurus selepas Isya. Jika dilakukan bersendirian, boleh juga dikerjakan sebelum waktu yang dinyatakan.

 

Rakaat Sembahyang

Solat sunat ini boleh dikerjakan sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat sahaja. Sembahyang sunat Tarawih hendaklah ditunaikan dua rakaat pada tiap-tiap satu kali takbiratul ihram, kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki.

 

Tarawih bererti ‘istirehat’ manakala solat Tarawih pula bermaksud solat yang merehatkan. Dalam melaksanakannya, disunatkan duduk sebentar selepas salam sambil memperbanyak zikir pada setiap rakaat keempat dan dikerjakan dalam keadaan tenang, tenteram dan tidak tergesa-gesa menyelesaikannya – (diambil dari syafiqolbu.wordpress.com).

 

Sebaiknya waktu solat tarawih ni, lupakanlah segala hal-hal dunia, atau perancangan untuk shopping atau menjamah menu seterusnya. Lakukan dengan tenang dan kusyuk. Ambil peluang Ramadan yang datang cuma setahun sekali.

 

Bacaan Surah
Selepas membaca surah al-Fatihah, tiap-tiap rakaat sembahyang sunat tarawih ini dibaca pula surah-surah yang tertentu. Dari malam 1 hingga 15 Ramadan. Pada tiap-tiap rakaat yang pertama dibaca satu surah yang bermula dari surah at-Takasur hingga surah al-Lahab.

Susunan surah-surah adalah seperti :

1. Al-Takatsur
2. Al-Asr
3. Al-Humazah
4. Al-Fil
5. Al-Quraisy
6. Al-Ma’un
7. Al-Kautsar
8. Al-Kafirun
9. An-Nasr
10. Al-Lahab

Pada tiap-tiap rakaat yang kedua dibaca surah al-Ikhlas.

 

Sebaik-baik surah yang dibaca selepas al-Fatihah pada solat Tarawih ialah satu juzuk daripada al-Quran pada setiap malam seperti kelaziman seseorang yang hafaz al-Quran (al-Hafiz). Namun, kebanyakan orang biasanya juga boleh membaca surah-surah lazim.

 

Dari malam 16 hingga akhir Ramadan. Pada tiap-tiap rakaat yang pertama dibaca surah al-Qadr. Pada tiap-tiap rakaat yang kedua dibaca satu surah seperti yang dibaca pada rakaat yang pertama bagi malam- malam 1 hingga 15 Ramadan iaitu bermula dari surah al-Takatsur hingga kepada surah al-Lahab.

 

Solat Sunat Witir

Sembahyang witir ini ditunaikan dengan satu takbiratul Ihram dan satu salam sahaja. Boleh juga dikerjakan tiga rakaat dan dua salam (lakukan 2 rakaat dan kemudian 1 rakaat). Lafaz niatnya:

niat(Sahaja aku solat sunat witir tiga rakaat makmum (jika sendirian tidak perlu disebut) kerana Allah Taala)

Bagi sembahyang witir seperti ini tidak ada bacaan tasyahud (tahyat) awal.

Bacaan surah selepas al-Fatihah bagi rakaat pertama: Surah al-A’la, Rakaat kedua: Surah al-Kafirun dan Rakaat ketiga: Surah-surah

1. Al-Ikhlas
2. Al-Falaq
3. An-Nas

 

Mulai malam 16 Ramadan kita disunatkan membaca qunut. Lafaz qunut samalah seperti sembahyang subuh. Jika tidak membaca qunut sunat sujud sahwi. Ia dilakukan sebelum sujud rakaat terakhir.

qunut

 

Sekian untuk perkongsian, semoga bermanfaat untuk semua. Wallahualam.

Nadiel Yusof

“Melihat diri dengan keterbukaan, seumpama melihat dunia tanpa sempadan. Limit manusia terletak pada akalnya..”

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *