Nuzul Quran dan peristiwa disebaliknya

Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat Al Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w sehingga seterusnya secara berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M.

Perkataan “Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi s.a.w, maka ianya memberi makna besar buat umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al Quran. Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Selain itu, 17 Ramadan juga mencatatkan satu lagi peristiwa besar dalam Islam iaitu berlakunya Perang Badar Al-Kubra. Perang penentuan yang juga dikenali sebagai Hari Pemisah Hak dan Batil. Para syuhada yang terkorban dalam peperangan ini digelar sebagai Ahli Badar.

Hubungan Nuzul Quran dan Lailatul Qadar (dipetik dari islam.gov.my)

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah  SWT:

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Jadi mari  kita sama-sama perbanyakkan ibadah dengan solat, zikir dan selawat. Semoga kita beroleh rahmat dan kasih sayang dariNya. Kita hayati Nuzul Quran sebagai satu peristiwa besar dan penuh hikmah. Membaca Al Quran adalah suatu ibadah. Menganalisa, mengkaji, menyelidiki membolehkan kita mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam Al Quran, kerana tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran. Begitu besar hikmahnya.

Nadiel Yusof

“Melihat diri dengan keterbukaan, seumpama melihat dunia tanpa sempadan. Limit manusia terletak pada akalnya..”

You may also like...

2 Responses

  1. Sha Aisha says:

    betapa besarnya keagungan Allah.semoga kita beroleh manfaat daripada-Nya.

  2. aninadila says:

    Ya, sungguh besar keagungan Yang Maha Esa 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *