20 Tip Jana Pendapatan Dengan Blog

Oleh Ani Nadila Yusof, menulis untuk Majalah Nur, Disember 2013.

Blogging. Jika disebut 10 tahun yang lalu mungkin ia menjadi perkataan yang masih janggal bunyinya. Hanya sebilangan yang berkata tentang blogging dan sebahagian pula yang aktif dengannya. Namun hari ini, Blogging sudah menjadi asam garam dalam dunia teknologi atau dunia tanpa sempadan. Ramai yang menjadikan blogging aktiviti harian mengalahkan berjogging atau masak di dapur. Blogging dijadikan platform dan medan bercerita, yang relatifnya sangat menarik, mewarnai dunia talian.

 Namun, ada satu lagi kenikmatan blogging yang kurang diterokai oleh kaum wanita. Iaitu menjadikan platform bercerita ini sebagai satu alat berkuasa membujuk, mempromosikan dan menjana pendapatan dengan mudah. Tidak kiralah sama ada kita menggunakan Blogspot, WordPress, Journal atau enjin blogging yang lain, dengan mengetahui teknik yang betul, kita boleh menukarkan platform ini kepada sesuatu yang mengungtungkan. Jadikan celotehan anda sebagai daun-daun wang.

 #1 Pilih servis yang selesa

Ini penting kerana anda tidak mahu gunakan servis blog yang anda tidak biasa, sukar dan mempunyai pilihan yang terhad. Pastikan platform ini membolehkan anda memuat naik gambar dan video, memasukkan pautan, boleh menukar tema, tetapan serta lain-lain fungsi yang nanti akan anda perlukan. Jika mempunyai masa, cuba pelajari teknik membina blog dan cara-cara mengendalikannya. Dua servis blogging yang mudah dan popular ialah Blogspot dan WordPress.

 #2 Nama mudah dah catchy

Perlu diingatkan bahawa tip ini adalah untuk anda menjana pendapatan dengan blogging. Anda perlu memikirkan nama yang sesuai untuk blog anda, sesuatu yang menarik dan ‘catchy’. Jangan gunakan nama yang terlalu panjang atau sukar diingat. Nama yang komersil dan menggambarkan produk anda adalah yang terbaik.

 #3 Blogging apa yang disukai

Tip ini sangat mudah dan perlu anda beri perhatian. Blog apa yang anda suka kerana ia akan membantu anda mencambah lebih banyak idea untuk menulis, merasa lebih segar dan semangat setiap hari. Jangan blog tentang sesuatu yang anda tidak faham dan tidak mahir tentangnya hanya kerana ia lebih popular. Usah blog pasal kereta sedangkan anda nak masuk gear pun tak tahu bagaimana.

 #4 Tetap dengan tema

Jika anda sudah tahu apa yang ingin diblog, tetaplah dengan tajuk atau tema tersebut. Misalnya anda memang sangat meminati dunia masakan. Maka kekalkan blog anda tentang masakan. Tema yang jelas sebegini akan membantu halatuju blog anda.

 #5 Customize Blog

Jangan biarkan blog anda kelihatan ‘standard’ sahaja dengan templat dan tetapan lazim. Banyak cara untuk mengindahkan blog dengan menggunakan templat percuma yang boleh dipasang ke blog serta menambah widget agar blog lebih interaktif.

 #6 Penjenamaan blog

Anda perlu lebih serius jika ingin menjana pendapatan dengan blog. Buat penjenamaan pada blog anda seperti menghasilkan logo atau avatar yang melambangkan jenama blog. Warna yang tepat dan rekaan yang kemas juga akan membuatkan orang ramai selesa membaca blog dan tinggalkan mereka dengan sesuatu yang akan diingati tentang blog anda.

 #7 Susun posting

Sebenarnya blogging adalah dunia bebas yang patut anda kecapi tanpa anda sebarang sekatan masa atau perlunya jadual. Namun jika anda bekerja dan blogging menjadi tugas sampingan, maka anda perlukan jadual. Susun jadual posting atau kandungan untuk diterbitkan. Anda perlu melakukannya setiap hari, untuk beberapa bulan agar rating blog anda meningkat. Lakukan dengan banyak, lakukan lebih kerap.

 #8 Kandungan terbaik

Lebih banyak kandungan atau pos terbaik yang anda terbitkan di blog, lebih baik keputusan atau rating yang anda terima. Jika ingin pos tentang asam pedas misalnya, jadikan ia lebih menarik. Selain resipi, kongsikan juga cara langkah demi langkah memasak asam pedas yang dirakam menerusi video. Anda boleh buat rancangan memasak sendiri di blog. Ia tidak susah jika anda tahu caranya.

 #9 Kredibiliti

Apa jua yang anda terbitkan ke blog menunjukkan kredibiliti blog anda dan kredibiliti anda sebagai seorang manusia. Kadangkala gaya bahasa yang tidak sesuai dan pos yang sensitif boleh menyebabkan kredibiiliti anda sebagai blogger tidak diterima orang ramai. Begitu juga untuk pos yang ditulis semberono dengan fakta yang salah.

 #10 Tingkatkan rating

Rating sangat penting untuk anda jana duit dalam dunia blogging. Rating tinggi membolehkan blog anda dikenali, sama ada oleh pembaca atau pengiklan. Apabila dikenali, produk yang anda jual di blog, atau cerita yang anda sampaikan akan mudah dikenalpasti dan dicari oleh pembaca. Pengiklan juga lebih yakin untuk meletakkan banner iklan mereka di blog anda yang mendatangkan wang masuk mudah tanpa anda perlu melakukan apa-apa.

 #11 Jangan mengiklan

Adakalanya pendekatan mengiklan terlalu ‘direct’ membuatkan orang bosan dan mudah keluar dari blog anda. Pembaca sekarang suka kaedah bercerita, testimoni dan sesuatu yang lebih dekat dengan mereka. Misalnya anda jual jamu. Berbanding letak gambar jamu dan pos ia seperti iklan, bukankah lebih baik anda menceritakan bagaimana jamu ini telah mengubah kesihatan dan kehidupan anda. Selitkan satu atau dua kisah benar atau mungkin lucu tentang pemakanan jamu ini. Buat pembaca rasa terbuai dengan cerita anda.

 #12 Jual cerita

Anda tidak semestinya kena jual produk baru boleh menjana pendapatan dengan blogging. Anda suka bercerita tentang anak-anak, penyusuan, tip dan panduan ibu bapa serta seumpamanya, maka lakukanlah. Cerita-cerita anda akan menjadi bahan yang menarik yang dicari pembaca. Tetapi ingat, ia mestilah benar, ikhlas dan tidak mendatangkan mudarat pada orang ramai.

 #13 Hubungan dengan pembaca

Cipta hubungan dengan pembaca. Jika ada yang meninggalkan komen, segera respon dan balas. Pembaca adalah pengikut anda yang akan membantu meningkatkan ‘rating’ blog . Buatkan mereka rasa perlu untuk mengunjungi blog anda setiap hari. Hargai pujian dan jangan cepat melatah dengan komen yang kurang menyenangkan.

 #14  Google dan Affiliate

Apabila rating blog anda telah meningkat, anda boleh memuatkan iklan Adsense daripada Google dan Affiliate. Perkara ini juga boleh dilakukan lebih awal (lihat cara mengiklan dengan Google), namun perlu anda ketahui bahawa pengiklan akan melihat rating blog anda terlebih dahulu untuk semakan dan penilaian.

 #15 Laman sosial

Gunakan laman-laman sosial yang anda ada untuk mempopularkan blog. Facebook misalnya platform yang amat bagus untuk anda letakkan pautan blog berserta status yang menarik untuk orang ramai klik dan masuk ke pautan blog anda tersebut.

 #16 Blogroll

Kadangkala menempatkan diri di Blogroll orang lain juga membantu mempromosikan blog anda terutama blog-blog yang popular. Kunjungi blog yang dikenali dan cuba cipta hubungan dengan blogger tersebut. Rakan-rakan blogger pasti akan membantu dan kini sudah mempunyai komuniti yang kuat.

 #17 Bayaran untuk posting

Anda boleh mencuba laman web seperti PayPerPost, PayU2Blog, ReviewMe dan banyak lagi untuk mendapatkan bayaran posting di blog. Jika berurusan dengan penyedia servis ini agak sukar, anda juga boleh lakukan sendiri dengan mencari individu yang mahu menerbitkan kandungan mereka di blog anda. Jika blog anda sudah cukup popular, pasti ramai yang berlumba-lumba untuk dapatkan slot di blog anda.

 #18 E-Book

Selain produk dan cerita, kita juga boleh menjana wang di blog dengan E-Book. Ambil beberapa pos yang menarik dan terbitkan ia sebagai sebuah E-Book. Misalnya blogger masakan boleh buat 20 Resipi Masakan Segera Blog AA, atau blogger keibubapaan boleh terbitkan 100 Panduan Ibu Muda menerusi gabungan pos-pos yang telah diterbitkan di blog. Jual E-Book ini di Blog ya sudah semestinya.

 #19 Eksklusif

Jika blog anda sudah benar-benar popular, anda sudah boleh mula memikirkan kandungan eksklusif. Misalnya anda ada cerita tentang seorang artis yang memang anda sahaja yang tahu. Setelah memberi hint dalam beberapa perenggan di blog, mereka yang ingin tahu cerita selanjutnya boleh mendapatkan ia secara eksklusif dari anda secara berbayar. Tapi ingatan keras ya, ini hanya untuk mereka yang benar-benar sudah berjaya dan dikenali. Cara ini tidak akan berkesan untuk blogger baru.

 #20 Jual Blog

Jual blog? Jangan terperanjat kerana cara ini memang sudah dilakukan oleh ramai blogger berjaya di luar sana. Blog yang sangat popular mempunyai nilai yang tinggi dan jangan terperanjat jika satu hari nanti ada orang menghubungi anda untuk membelinya. Ia boleh mencecah ratusan ribu dolar untuk satu blog yang sememangnya sangat lumayan untuk wang mudah dan segera.

Nadiel Yusof

“Melihat diri dengan keterbukaan, seumpama melihat dunia tanpa sempadan. Limit manusia terletak pada akalnya..”

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *