Apa yang terbaik buat kami

Post tertunda. Pertama kali menulis sesuatu yang tidak tahu hendak dimulakan dari mana. Mungkin kerana mencari perkataan… perkataan sesuai yang terlalu dalam di hati…

Tiga hari lepas, sebaik bangun untuk solat subuh, ada kesan darah warna merah jambu di seluar. Tak banyak, kira-kira sebesar duit syiling 20sen. Dada rasa sakit, kuat. Saya menggigil tanpa sedar. Doktor pesan time scan empat hari lepas, jika ada spotting atau keluar darah sedikit sekalipun, cepat-cepat ke klinik. Boleh jadi tanda-tanda keguguran.

Tunjuk pada hb dengan kerongkong yang tersekat. Hb sendiri pun terdiam, memandang mata saya yang dah mula berkaca. Pegang lengan saya sambil kata kita ke klinik, tapi kita solat dulu.

Saya ke klinik pagi itu dan menjadi pesakit pertama. Terus memberitahu doktor tentang darah yang keluar dan minta doktor scan untuk lihat kandungan. Kantung masih ada, garisan itu pun masih ada. Dia kata mungkin pendarahan ringan yang lazim berlaku di trimister pertama. Waktu ini dia kata tak ada banyak yang boleh dilakukan, selain dia cadangkan saya berehat. Doktor kata adakalanya darah keluar seperti period tapi masih normal. Tapi kalau sakit dan terlalu banyak darah segera ke hospital.

Hmmm istilah ‘banyak’ buat saya yang baru pertama kali hamil ini sangat tidak jelas. Saya pun tidak bertanyakan pada doktor banyak manakah yang dikira banyak dan bahaya? Balik klinik tu saya rasa okay lagi, tapi bila masuk tengahari darah semakin banyak keluar. Kali ini merah pekat, persis period. Saya masih beranggapan tiada apa. Sedapkan hati dengan berulang kali menyatakan tiada apa..

Tapi masuk ke petang darah semakin banyak. Kemudian mula keluar darah beku hitam berketul-ketul. Daripada panty liner saya beralih ke pad nipis. Sehinggalah Maghrib itu perut rasa seperti senggugut, datang dan pergi. Berulang. Adakalanya sakit, adakalanya tidak. Sakit tu saya masih boleh tahan tapi saya dah mula rasa tak sedap hati, normalkah ini?

Mentol pecah kata mak
Mak telefon saya maghrib tu. Dia kata mak tengah solat, tiba-tiba mentol atas kepala mak pecah. Kemudian akak call kata adik bleeding. Mak tanya keadaan saya, dan saya ceritakan. Mak diam dan kemudian mak kata adik mungkin nak keguguran ni, sebab mak ada pengalaman macam ni dulu. Apa pun kata mak sabar dan pergi cek hospital. Sempat hati saya kata macam drama pulak cerita mak saya ni. Saya letak humor sikit kalau tak nanti saya menangis pulak taip kisah ni..

Ok sambung..

Saya rasa penat sangat dan hanya nak tido sahaja waktu itu. Saya baring dan terus terlelap. Pukul 1140 malam saya terjaga selepas rasa dikejutkan. Perut rasa ditarik yang amat sangat. Saya bangun ke tandas dan pad dah penuh darah merah hitam. Saya kata pada diri, ini bukan lagi normal!

Saya dan hb decide ke hospital putrajaya. Terus ke unit kecemasan. Saya diperiksa (atau disaring kesnya) oleh pegawai di luar, yang tanya saya berapa pad dah saya gunakan untuk bleeding ini. Saya pun jawab dua. Mereka berbincang dan merasakan kes saya tidak begitu serius dan meletakkan saya sebagai kes pesakit biasa. Kena tunggu turn walaupun point kecemasan no.12 kat dinding tu tulis keutamaan diberi untuk ibu hamil yang tumpah darah, tapi nampaknya saya tidak termasuk dalam senarai. Darah tak tumpah, tapi meleleh agaknya. Ok sekali lagi saya buat lawak kering.

Selepas menunggu hampir 40 minit, kemudian masuklah ke bilik doktor di Unit Kecemasan tu. Tapi dia tidak dapat buat keputusan kerana scan dia tak clear katanya dan terus arahkan saya ke gynea. Saya tunggu 40 minit, masuk tak sampai 2 minit, kena ke tempat lain pula. Okay takpe, seronok..

Ini part yang best juga. Saya yang sedang bleeding teruk, ada kemungkinan keguguran, sakit senggugut bagai ditarik-tarik, telah diminta berjalan kaki dari wad kecemasan ke wad bersalin yang perlu mendaki tangga kira-kira dua tingkat setengah pada jam 1230 pagi. Ini semata-mata kerana pegawai yang patut tolak saya dengan wheel chair tu kata kat jalan belakang ada hantu. Ikut jalan depan cepat sikit, takde hantu. Kemudian boleh pula dia cakap ngan hb saya, eh eh pegang isteri awak, dia macam nak jatuh tak larat je tu. ??? motif aku kena naik tangga?? oh misteri betul kisah ni…

Lima kelahiran dan dia pergi
Sampai di wad bersalin jelas menunjukkan malam itu malam yang sangat sibuk. Doktor yang nak memeriksa saya tak menang tangan sebab perlu menyambut kelahiran yang sungguh banyak malam itu. Saya sempat lihat lima kelahiran depan mata. Melihat reaksi gembira bapa-bapa yang menunggu anak mereka dilahirkan. Mendengar azan dilaungkan ke telinga bayi baru lahir. Melihat nurse membersihkan bayi yang masih dalam selaputnya.. saya lihat.. saya lihat semuanya.

Dah hampir pagi.. lama saya menunggu.. Sudah lebih empat jam. Tiba-tiba satu suara datang dalam diri saya, kuat.

Saya pegang perut, seolah saya mengusap anak dalam kandungan. Saya bisikkan pada dia..  Anakku, jika Allah mentakdirkan kamu bukan milik ibu, ibu redha kamu pergi. Balik semula pada pencipta kita. Kerana dia lebih tahu apa yang terbaik buat kamu dan ibu. Saya katakan bersungguh sambil melepaskan satu rasa dalam hati.. pedih….Pelik tapi itulah yang saya rasa pada waktu itu.

Saya tersentak bila doktor datang dan memanggil saya masuk ke bilik pemeriksaan. Saya menggeletar.. sungguh saya menggeletar. Saya diminta baring, diangkat kaki dan disuruh membuka kaki… dan terus… kantung dan darah beku itu jatuh…..

Maaf.
Itu yang diucap doktor dan pembantunya. Tapi sebenarnya memang tak ada ucapan lain yang boleh dikatakan saat itu. Mereka pun tak tahu nak mengatur ayat bagi menenangkan emosi wanita yang baru sahaja keguguran.

Ya Allah…Saya pejam mata rapat.. Redha…Kena redha….

Doktor pun buat semua proses yang mereka sudah mahir tentangnya, sementara saya hanya diam dan ikut seperti yang dipinta. Memang saya dalam keadaan kabur dan tak mampu nak berfikir apa-apa. Hati terus menerus membaca Al Fatihah buat dia.

Apa yang saya sedar.. lepas lima kelahiran malam itu… dia pergi…

Malam itu wad penuh. Doktor memberitahu yang saya tidak dapat diwadkan dan boleh pulang.. Saya pun berjalan berdua dengan hb ke kereta sambil dia memimpin tangan saya. Sesekali dia kuatkan pegangan itu. Saya tahu dia nak beritahu yang dia ada…

Saya minta nak pegang perut sekejap, dan dia lepaskan tangan saya.. Saya pegang perut pada pagi yang seingat saya begitu sunyi. Perut ini terasa kosong….amat kosong…

Ya Allah..disitu juga akhirnya… gugur airmata yang diseka dari tadi…

Nadiel Yusof

“Melihat diri dengan keterbukaan, seumpama melihat dunia tanpa sempadan. Limit manusia terletak pada akalnya..”

You may also like...

4 Responses

  1. Mia says:

    be strong sis . Tak tahu macammana i boleh terbaca entry u ni . But , its really touching . Tuhan maha Adil . In sha Allah , ada rezeki sis nanti .

  2. marie says:

    Sama seperti saya…by this time saya dh kuat..keluar kantung pertama sakitnya seperti ditarik tarik…esoknya kluar kantung ke dua…ya kembar..air mata sudah tak keluar..mungkin mkin kuat jiwa ini..kita sama…kita pasti kuat

  3. aninadila says:

    airmata hanya difahami oleh mereka yang mengalaminya.. moga kita terus kuat…

  4. hujanrainbow says:

    Pagi yg hening..
    dan saya terbaca..
    hmmm…
    mohon hati awak sudah kuat menghadapi…
    be strong..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *