Wanita Kuasai Dunia Blog di Malaysia

Dibawah ini adalah keratan artikel saya tentang blog dalam Majalah PC tahun lalu.

Wanita Kuasai Dunia Blog di Malaysia

Oleh Ani Nadilla Yusof
Majalah PC

Itulah hakikatnya. Wanita menguasai dunia blog di Malaysia. Mengapa dan kenapa? Semuanya akan terjawab menerusi kajian dalam talian yang dilakukan oleh MSN dan Windows Live. Hasil kajian itu yang disiarkan dalam laporan “Blogging Malaysia: A Windows Live Report” mendapati wanita mewakili 64% blogger di Negara kita manakala lelaki hanya seramai 36%. Mungkin ini bukan sesuatu yang memeranjatkan berikutan fakta dalam sains sosial sendiri menunjukkan bahawa wanita adalah komunikator yang lebih baik berbanding lelaki. Dengan adanya fenomena web 2.0, ia seolah-olah membuktikan fakta tersebut.

Secara logiknya, wanita mempunyai lebih banyak masa untuk menulis dan membaca blog. Bukan kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan lain, tetapi kerana sifat dalaman wanita yang sukakan perkara-perkara melibatkan emosi. Blog dianggap sebagai medium untuk meluahkan perasaan dan diari maya peribadi. Oleh itu, wanita lebih gemarkan blogging ditambah pula dengan teknologi terkini yang membolehkan mereka menulis dengan mudah. Tidak seperti lelaki, blogging mungkin dianggap sebagai sesuatu yang remeh atau tidak begitu berkepentingan jika dibandingkan dengan perkara-perkara lain dalam kehidupan.


Kebanyakan blogger di Malaysia adalah berumur 25 tahun ke bawah (75%), diikuti blogger 25 ke 34 tahun (21%). Mereka mencipta blog atas tujuan hiburan dan ingin berkongsi kehidupan harian dengan keluarga serta rakan-rakan. Ini dibuktikan menerusi 63% maklumbalas yang diterima daripada responden menyatakan bahawa mereka membaca dan mencipta blog berkaitan hiburan, manakala 49% menyatakan bahawa mereka sentiasa berhubung dengan keluarga serta sahabat handai.

Ini sekali gus membolehkan kita melihat tabiat dan perilaku blogger di Malaysia. Hampir 50% blogger Malaysia gemar menulis tentang fikiran dan pandangan mengenai perkara yang berlaku disekeliling. 3% merasakan yang mereka menulis blog untuk bertindak sebagai wartawan masyarakat dengan memberi komen, kritikan dan melaporkan apa yang mereka lihat. Selebihnya pula sekadar inginkan ruang peribadi di alam siber. Tidak hairanlah sekiranya blog kini dipandang sebagai cara utama bagi individu untuk meluahkan ekspresi diri. Dalam erti kata lain, ia adalah “cara moden” untuk sentiasa berhubung dengan masyarakat sekeliling tanpa menggunakan cara konvensional seperti menulis surat, risalah dan seumpamanya.

Selain itu, menerusi kajian yang sama, hampir majoriti responden iaitu sebanyak 81% memberi maklumbalas bahawa blog oleh individu terapat sering dikunjungi. Ini diikuti blog yang ditulis oleh pelakon (34%), artis dan ahli muzik (33%). Blog daripada ahli-ahli perniagaan dan ahli politik merupakan blog yang paling sedikit dikunjungi di Malaysia. Blog yang membosankan pula adalah sebab utama ia tidak akan dikunjungi lagi menurut lebih 50% responden yang berpendapat sedemikian.

Menyentuh mengenai topic yang sering menjadi perbincangan di dalam blog, “Blogging Malaysia: A Windows Live Report; menjelaskan bahawa teknologi, pelancongan dan muzik adalah pilihan lazim blogger di Malaysia. Malah topik-topik ini juga merupakan blog yang sering dibaca di seluruh Asia. Selain berkongsi pendapat tentang topic yang diminati, blog juga djadikan medan oleh blogger untuk mendedahkan penemuan, produk serta teknologi terkini. Perkara ini sekali gus membuka mata pengiklan-pengiklan seluruh dunia untuk menggunakan blog bagi memasarkan produk mereka.

Melihat kepesatan yang melanda dunia blog, iaitu sebanyak 41% individu daripada jumlah keseluruhan yang melayari internet di Malaysia, secara aktif melibatkan diri dengan blog, pastinya pengiklan dalam blog bukan sesuatu yang mustahil. Implikasi positif kepada pengiklanan ini sejajar dengan pengembangan blog di Negara ini kerana kajian turut mendapati blogger Malaysia akan menghabiskan masa kira-kira dua jam mengemas kini blog masing-masing setiap minggu.

Nota: Kajian dilakukan menerusi MSN portal di tujuh buah Negara di Asia termasuk Hong Kong, India, Korea, Malaysia, Singapura, Taiwan dan Thailand.

Nadiel Yusof

“Melihat diri dengan keterbukaan, seumpama melihat dunia tanpa sempadan. Limit manusia terletak pada akalnya..”

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *