HTC Touch Viva & S740
HTC baru-baru ini memperkenalkan dua model telefon bimbit iaitu Smartphone S740 dan versi yang mempunyai panel skrin sensitif sentuhan HTC Touch Viva.
HTC S740
S740 direka khas untuk pengalaman permesejan dengan memberi anda pilihan bermesej menggunakan butang kekunci biasa 12-kunci dan papan kekunci penuh QWERTY dalam rekaan boleh luncur. Ia boleh membantu anda menaip segera menggunakan sebelah tangan atau kedua-dua belah tangan disamping menyokong POP3, IMAP, emel Exchange dan Mesej Segera (IM).
Dari segi keupayaannya pula, anda boleh mengharapkan kelajuan maksimum 7.2Mbps HSDPA untuk jalur lebar mobil, WiFi IEEE 802.11 b/g, mempunyai GPS terbina dan radio FM serta kamera 3.2MP. Rekaan belakangnya sama seperti rekaan HTC Diamond (senang ada kesan cap jari), skrin QVGA 2.4 inci, kecil dan nipis sahaja. Harga RM1,999. (Ulasan selanjutnya dalam MPC Nov).
HTC Touch Viva
HTC Touch Viva pula menampilkan teknologi TouchFLO untuk navigasi, akses dan melihat informasi segera secara sentuhan skrin. Anda boleh mengawal menu, kontak, mesej dan panggilan menggunakan teknologi inovatif HTC ini dan ia turut dilengkapi Windows Mobile 6.1 Profesional untuk anda mudah selaraskan kandungan seperti kaledar dan emel dengan komputer peribadi.
Touch Viva didatangkan dalam saiz kompak dan mempunyai skrin sensitif sentuhan 2.8 inci. Ia juga mempunyai suapan RSS terbina untuk anda mengikuti perkembangan dunia, sokongan emel Exchange dan dokumen Microsoft Office. Terdapat juga WiFi, Bluetooth, kamera 2.0 megapiksel dan memori ROM 256MB serta RAM 128MB yang boleh diluaskan dengan kad microSD. Semua ini ditawarkan pada peranti dengan harga RM 1,299. Bolehlah untuk anda yang inginkan kuasa telefon di hujung jari.


